Motosikal kapcai Honda EX5 cukup popular serta dikenali ramai di negara kita. Dilancarkan oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) sejak 24 tahun yang lalu, Honda EX5 masih menjadi pilihan kebanyakan rakyat Malaysia walaupun terpaksa bersaing dengan motosikal lain yang lebih moden. Sejak lebih 6 tahun lepas, generasi lama Honda EX5 digantikan dengan model Honda EX5 Dream dan ia kekal meneruskan legasi terlarisnya sehingga mencatat jualan 1.5 juta unit pada Ogos 2010.
Terkini, Boon Siew Honda menampilkan Honda EX5 Dream serba baru dengan warna emas yang lebih menyerlah, termasuk penggunaan rekaan grafik baharu dengan gaya memukau. Honda EX5 Dream menggunakan khidmat enjin 4 lejang sejukan udara, bergandingan dengan gear jenis manual 4 kelajuan. Masih tipikal seperti sebuah EX5 yang dikenali dahulu, terdapat beberapa perubahan terbaru seperti sistem kunci baharu yang lebih terjamin keselamatannya dan penampilan speedometer yang lebih menonjol.
Selain warna emas, motosikal dengan reputasi tahan lasak itu turut ditawarkan warna ungu gelap, biru gelap, merah dan putih. Masih mengekalkan harga rendah dan kompetetif berbanding pesaingnya, ia ditawarkan pada harga RM3,998 (penghidup tendang) dan RM4,268 (penghidup elektrik), harga atas jalan lengkap dengan perlindungan insuran komprehensif untuk penunggang tunggal (untuk semenanjung Malaysia sahaja).
p/s : Saya pernah memiliki Honda EX5 keluaran tahun 1999 dan Honda EX5 Dream keluaran tahun 2005. Berdasarkan pengalaman, Honda EX5 generasi pertama lebih tahan lasak berbanding EX5 Dream. EX5 pertama saya lebih laju dengan kemampuan meter mencecah 120 km/j berbanding EX5 Dream setakat 90 – 100 km/j sahaja. Enjinnya juga lebih lancar, kurang bergegar dan pikap sangat kuat.
No comments:
Post a Comment